ULASAN RENCANA
Tajuk Rencana | Kepimpinan Berkualiti - Satu Proses Pengaruh Dua Hala |
Penulis | Md. Hasidin bin Zaini |
Jurnal | Jurnal Tanjung Puteri - Diterbitkan sempena Persidangan PPD/PPB Malaysia Kali Ke-XIV, 1996, hlm. 55 - 63 |
Penerbit | Jabatan Pendidikan Johor |
Pengulas | Azman Hj. Adnan |
Sinopsis :
Rencana ini cuba memberi gambaran bagaimana konsep kepimpinan mempunyai hubungkait yang erat di antara pemimpin dan subordinatnya serta elemen-elemen kepimpinan untuk mewujudkan keberkesanan pengurusan organisasi.
Cabaran utama yang sedang dihadapi oleh sistem pendidikan ialah menyediakan suatu perkhidmatan yang cemerlang dan berkualiti untuk melahirkan output insan yang berketerampilan dan kemahiran sesuai dengan kehendak negara. Ini memerlukan penilaian semula terhadap pengurusan organisasi melalui anjakan-anjakan ekonomi dan sosial dan melalui peningkatan profesionalisme pengurus-pengurus pendidikan.
Dua paradigma yang sering menjadi penghalang dan perlu diubah untuk kecemerlangan pengurusan ini ialah konsep kita adalah manusia biasa yang tidak dapat lari dari sebarang kelemahan/kecacatan dan sentiasa ada peluang kedua jika melakukan kesilapan.
Oleh itu sebenarnya kualiti dalam pengurusan organisasi bergantung kepada kepimpinan yang utuh dan mapan dan bagaimana kepimpinan dua dimensi ini dapat dibangunkan. Ini akan memudahkan pengwujudan pengurusan pendidikan yang lebih berkesan. Pemimpin dan pengikut seharusnya saling pengaruh mempengaruhi. Pemimpin perlu memahami dan menghayati dua elemen yang saling berkuasa iaitu kuasa atau pengaruh pemimpin dan pengaruh atau kuasa subordinat.
Penulis juga telah menyarankan beberapa ciri dan peranan pemimpin yang berkesan dalam pengurusan organisasi pendidikan. Antaranya ialah konsep perwakilan kuasa (delegation) dan keupayaan pemimpin untuk mengambil dan melaksanakan keputusan-keputusan dalam organisasi.
Keberkesanan pengurusan organisasi pendidikan juga melibatkan elemen manusia dan produk atau perkhidmatan yang dilihat secara sepadu dalam pengurusan. Pemimpin juga perlu berfikir secara lateral, berfikir ke hadapan untuk menjelmakan pengurusan zero defect, mewujudkan Advance Alert System (AAS) sebagai satu cara menangani masalah dalam pengurusan pendidikan, melaksanakan TQM untuk peningkatan kualiti perkhidmatan dan kepuasan pelanggan serta mengimplimentasikan amalan kaizen dalam pengurusan untuk mewujudkan penambahbaikan yang berterusan dalam perkhidmatan yang diberi.
Ulasan dan Komentar:
Pada bahagian awal penulisan rencana ini, penulis cuba memperkatakan tentang cabaran sistem pendidikan kini iaitu untuk menyediakan perkhidmatan yang cemerlang dan berkualiti sesuai dengan kehendak pembangunan negara. Beliau mengaitkan kejayaan dalam kualiti perkhidmatan yang disediakan dengan pengurusan organisasi dengan memetik pendapat pelopor TQM, Dr. Edward Deming iaitu perkhidmatan yang berkualiti datangnya 80% daripada pengurusan dan 20% daripada pekerja. Kualiti yang baik datangnya daripada pengurusan dan bukannya pekerja.
Saya akur dengan pendapat ini kerana pada dasarnya personel dan pemimpin dalam instituti pendidikan khususnya di sekolah yang rata-ratanya memiliki kelayakan akademik dan ikhtisas profesional bukanlah kakitangan yang semulajadinya buruk. Apa yang paling penting ialah kepimpinan dan polisi dalam instituti pendidikan itu sendiri. Sekiranya pemimpin organisasi sentiasa prihatin terhadap komponen dalam mewujudkan kualiti iaitu budaya kerja, persekitaran, dasar dan matlamat yang jelas, alat (tools), latihan dan sokongan sudah pastilah personel pelaksana tidak akan melakukan sebarang kesilapan (mistakes). Untuk mewujudkan kualiti ini perlu pula anjakan paradigma yang perlu dimulakan di peringkat pengurus pendidikan paling atas. Di sekolah misalnya, pengetua adalah pengurus yang mesti memulakan anjakan paradigma diikuti oleh staf di bawahnya.
Dua paradigma yang dikatakan menjadi penghalang kepada kecemerlangan dan kualiti kerja ialah konsep`Kita Manusia Biasa iaitu kecacatan (defect) yang berlaku adalah kerana kelemahan manusia dan yang kedua iaitu There is always a next time yang disifatkan oleh T. Domingo sebagai `anti kualiti dalam pengurusan. Kedua-dua halangan ini sebenarnya perlu dielakkan, apabila mahukan kualiti. Rasionalnya sebagai pelanggan di sekolah, pelajar, ibu bapa dan masyarakat sudah pasti tidak dapat menerima konsep yang pertama kerana mereka mahukan perkhidmatan yang berkualiti (zero defect) manakala konsep yang kedua hanya akan melemahkan organisasi dan membazirkan masa, tenaga alat serta kewangan. Dalam menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan, pengurusan seharusnya telah membuat keputusan-keputusan yang muktamad dengan mengambilkira kemungkinan-kemungkinan melalui audit atau jangkaan luaran dan dalaman terhadap proses masalah dan penyelesaiannya.
Penulis seterusnya melihat kepimpinan ini dalam konteks proses hubungan dua hala. Kepimpinan yang utuh dan mapan merupakan asas kepada kualiti dan kecemerlangan dalam organisasi, pendekatan yang dinamis dan berdaya maju. Oleh itu pemimpin bukan sahaja mempengaruhi pengikutnya seperti pengertian yang sudah diterima umum tetapi pengikut juga turut mempengaruhi pemimpin. Dengan erti kata yang lain pemimpin dan pengikut saling mempengaruhi dan hakikat ini wajar difahami oleh semua pemimpin dan pengurus pendidikan.
Kuasa pemimpin terhadap pengikut boleh dilihat melalui keupayaan pemimpin memberikan ganjaran dan pengiktirafan, kuasa menghukum seperti mengkritik dan mengambil tindakan tatatertib, kuasa sah atas kedudukannya atau jawatannya dalam organisasi yang perlu dipatuhi, kepakaran dan kemahiran pemimpin berkenaan serta perwatakan peribadi yang boleh mempengaruhi subodinat. Pengaruh pengikut (subodinat) yang boleh mempengaruhi pemimpin pula boleh dilihat melalui sifat, perwatakan subodinat dan faktor kekuatan kelompok subodinat. Sikap pemimpin mungkin berbeza terhadap kelainan jantina, latar belakang pendidikan, umur dan lain-lain. dan kekuatan kelompok sudah pasti mempengaruhi gaya seseorang pengurus dalam memimpin.
Ini menunjukkan bahawa pemimpin dan pengurus tidak mungkin dapat melaksanakan pengurusan organisasinya tanpa mengambilkira faktor-faktor dalaman organisasinya termasuk subodinat. Dalam konteks pengurusan di sekolah kedua-dua elemen iaitu pemimpin dan subodinat akan saling mempengaruhi dalam bentuk proses dua hala untuk melahirkan pengurusan sekolah yang telus dan berkesan.
Selain itu faktor yang menentukan keberkesanan sekolah dalam konteks proses dua hala ini ialah sejauhmana pemimpin mampu menggunakan kaedah perwakilan kuasa (delegation) dalam pengurusannya. Pengurus yang action-oriented gemar melakukan sendiri semua tugas daripada menyelia dan mengawal yang menyebabkan mereka terlibat dengan terlalu banyak aktiviti, lebih banyak tekanan, mengejar masa, malah terlibat dengan tugas remeh temeh. Oleh itu sekiranya mereka ini mewakilkan kuasanya sudah pasti akan mempunyai lebih banyak masa untuk memenuhi tanggungjawab, membangunkan kemahiran diri, merancang, mengatur, mengarah, mengawal dan membuat inovasi serta berpeluang mendekatkan diri dengan subodinat dalam konteks hubungan interpersonel. Selain itu menerusi perwakilan kuasa ini bukan sahaja memberi peluang kepada subodinat untuk mengembangkan potensinya tetapi juga membolehkannya menerima tanggungjawab dalam semua persekitaran, membangunkan diri dan menggalakkan kreativiti dalam menyelesaikan masalah.
Dalam konteks sekolah, pengetua selalunya tidak mampu untuk melaksanakan semua tugas. Oleh itu kebiasaannya pengetua akan memberikan pengupayaan (empowerment) kepada personel-personel di bawah seliaannya seperti Penolong Kanan 1, Penolong Kanan HEM, Penyelia Petang dan guru-guru lain. Walaupun begitu saya berpendapat, proses pengupayaan ini tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana ia mungkin boleh menyebabkan dua implikasi iaitu mereka yang diberikan pengupayaan akan bertindak berlebihan dengan cara menyalahgunakan kuasa dan pengaruh baru yang diberikan atau mereka yang tidak mampu berbuat apa-apa kerana sudah terbiasa dikawal dan diarahkan oleh pemimpin paling atas.
Oleh kerana pengurusan pendidikan adalah antara bidang yang memberi tekanan yang tinggi di kalangan pengurus-pengurusnya maka pelaksanaan perwakilan kuasa ini juga perlu ada landasan yang kukuh. Justeru dalam melaksanakan urusan harian mereka, para pengurus harus tahu dan memahami cara-cara mewakilkan kuasa (to delegate) bagi mengurangkan stress dan melaksanakan pengurusan yang lebih efektif dan cekap. Berikut dicadangkan beberapa perkara sebagai panduan mewakilkan kuasa dalam pengurusan pendidikan. Pertama ialah wakilkan kuasa mana-mana tugas yang dirasakan sesuai. Kedua, wakilkan kuasa kepada staf yang paling muda tetapi berkemahiran dan berkedudukan dalam organisasi. Ketiga, pemimpin perlu menurunkan otoriti selainkan daripada tanggungjawab untuk memudahkan mereka membuat keputusan. Keempat, mencari calon yang paling sesuai dengan melatihnya jika tiada calon yang layak. Kelima, mewakilkan kuasa mengikut fasa-fasa untuk membolehkan kita membuat semakan dan pembetulan dari masa ke semasa. Keenam, memfokuskan kepada hasil dan berikan mereka yang diwakilkan kuasa kebebasan. Elakkan daripada menggunakan arahan `awak mesti atau `awak patut. Ketujuh, selalu memberikan penghargaan dan pengiktirafan terhadap tugas yang telah berjaya dilaksanakan oleh mereka. Kelapan, pemimpin mesti tahu dan jelas tentang perkara-perkara yang tidak boleh diwakilkuasakan.
Aspek mengambil dan melaksanakan keputusan turut disentuh oleh penulis dalam konteks kepimpinan dua hala ini. Alasannya ialah, untuk mengambil dan melaksanakan keputusan memerlukan disiplin diri, kemahiran persepsi, kreativiti, dinamisme dan kemahiran yang wajar dalam menangani individu dan kumpulan. Pengambilan keputusan yang berkesan bergantung kepada proses logik yang menentukan bahawa fakta atau pendapat yang releven dapat dikumpulkan sebanyak mungkin dan mengambilkira alternatif-alternatif serta kriteria yang diperlukan. Oleh itu apa yang dipersoalkan oleh penulis ialah bila dan sejauhmanakah pemimpin harus melibatkan para subodinat dalam menyelesaikan masalah tertentu?
Dalam hal ini saya bersetuju dengan beberapa saranan yang pernah dikemukakan oleh Victor dan Yetton yang dipetik oleh Stoner A.F. dan Wankel C. (1991) dalam bukunya Pengurusan (terjemahan) yang boleh digunakan oleh pemimpin-pemimpin pendidikan dalam menentukan gaya membuat keputusan yang paling sesuai bagi masalah yang mereka hadapi. Pertama ialah dari segi maklumat dan kemahiran untuk menyelesaikan masalah itu sendiri. Sekiranya kita tidak mempunyai cukup maklumat, maka penglibatakan subodinat diperlukan. Kedua, sejauhmana kita mampu memperolehi maklumat dan apa maklumat yang kita perlukan. Jika sukar, kita perlu libatkan subodinat. Keempat, adakah terdapat penolakan di kalangan sebilangan kumpulan? Jika ada, maka penglibataan subodinat juga perlu kerana perbezaan pandangan dapat dibincangkan secara terbuka untuk mendapatkan penyelesaian yang konkrit. Sehubungan dengan itu, pemimpin yang berkesan akan melibatkan penyertaan atau penglibatan sobodinatnya dalam membuat keputusan mengikut kewajaran keadaan seperti yang disebutkan.
Dalam konteks kepemimpinan ini, penulis turut mengemukakan model kepimpinan `Pola Pengurusan oleh Blake & Mouton yang melihat elemen manusia dan produk sebagai mempunyai pertalian yang cukup rapat. Ini kerana jika seseorang pemimpin memberikan perhatian yang tinggi terhadap produk mahupun manusia, ia dianggap sebagai memimpin dengan pengurusan pasukan dan ini adalah gaya kepimpinan yang terbaik.
Sehubungan dengan itu, dalam konteks pengurusan sekolah, hubungan interpersonel dan kemanusiaan sebenarnya menjadi penentu kepada pembentukan iklim sekolah yang berkesan dan kondusif yang akhirnya akan mewujudkan pengurusan yang efektif. Justeru pemimpin yang berkesan seharusnya melihat elemen manusia dan produk ini sebagai pengurusan yang bersepadu.
Malah kalau dilihat dari perspektif Islam, pengurusan mestilah bertitiktolak dari pembinaan aspek-aspek manusia yang bukan hanya bertumpu kepada kemahiran (skills) semata-mata tetapi mesti dapat merealisasikan fitrah manusia, kejadiannya, fungsi dan tugasnya sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini. Teras pengurusannya mestilah berpaksikan kepada tauhid. Sementara itu hubungan interpersonel dalam pengurusan ini mestilah berdasarkan kepada pembinaan ukhuwwah yang mendalam untuk mencapai alfalah dan keredaan Allah. Untuk tujuan itu segala perancangan, penyelesaian masalah dan keputusan mestilah dibuat berdasarkan syura, keadilan, mengatasi alfasad dan menegakkan alfalah. Pengurusan sebenar bukan sahaja menjadikan individu dan organisasi berkualiti tetapi pada masa yang sama memberi faedah kepada masyarakat, manusia dan tamaduan ummah. Inilah sebenarnya pola pengurusan yang perlu diterapkan dalam organisasi termasuk di sekolah untuk mencapai misi, visi, aspirasi Falsafah Pendidikan Negara dan dasar-dasar negara.
Saya juga sependapat dengan penulis yang turut mencadangkan beberapa aspek yang perlu diberi penekanan untuk mewujudkan keberkesanan kepimpinan dan pengurusan iaitu dengan pengurus-pengurus pendidikan sentiasa berfikir secara lateral, berfikir ke hadapan, mewujudkan Advance Alert System (AAS) dan mengamalkan kaizen.
Pengurus-pengurus pendidikan di sekolah pada masa sekarang memikul tanggungjawab yang amat besar dalam arus pendidikan yang bersifat global dan tiada sempadan ini. Justeru, pemimpin mesti berfikiran lateral iaitu dengan sentiasa berfikir untuk mencari alternatif baru, sentiasa berfikir dari konsep lama kepada konsep baru, menerbitkan idea-idea baru, sudut pandangan baru dan lari dari cengkaman lapuk. Cara berfikir seperti ini selari dengan tuntutan pendidikan yang sentiasa dinamik. Malah ianya juga selari dengan berfikir ke hadapan seperti yang dicadangkan kerana ianya akan turut menjelmakan pengurusan zero defect . Dengan pemimpin-pemimpin yang sentiasa proaktif dan mampu membuat jangkaan-jangkaan terhadap sebarang kemungkinan akan berkeupayaan menyediakan pengurusan yang lebih berstrategi dengan segala masalah atau kecacatan dapat dibendung lebih awal. Ini sekaligus akan dapat membantu mengimplimentasikan TQM di sekolah-sekolah.
Dalam melaksanakan TQM, kepuasan pelanggan (pelajar, ibu bapa dan masyarakat) diutamakan. Kualiti diukur melalui ketiadaan komplen daripada pelanggan. Oleh itu cadangan Advance Allert System (AAS) adalah amat sesuai. Dengan adanya AAS masalah-masalah berhubung pengurusan pendidikan dapat diatasi dan jangkaan serta alternatif penyelesaian masalah dapat diatur lebih awal tanpa menunggu sehingga berlakunya masalah. Mengikut pengalaman saya sendiri dalam membantu menguruskan sekolah, kaedah seperti ini memang sudah dipraktikkan dan ia sesungguhnya dapat membantu dalam keberkesanan dan kualiti pengurusan sekolah.
Keberkesanan dalam kepimpinan pengurusan akan lebih terbukti apabila pengurus menerapkan amalan kaizen dalam organisasinya. Pengurus seharusnya dapat mengekalkan keiltizamannya kepada kualiti dan penambahbaikan yang berterusan. Prinsip dalam kaizen juga mudah kerana penambahbaikan yang dibuat melibatkan teknologi yang rendah, secara kecil-kecilan, dan dilakukan secara perlahan-perlahan. Malah amalan kaizen dalam pengurusan di sekolah dapat mewujudkan potensi yang positif iaitu melalui amalan kerja berpasukan, menghargai semua individu dalam sekolah, dan mewujudkan hubungan kerja yang harmoni serta cross-functional antara pemimpin dan staff.
Secara keseluruhannya berdasarkan rencana penulis, saya melihat kepemimpinan berkualiti bukan sahaja dapat dilihat berdasarakan proses hubungan dua hala seperti yang dinyatakan dan dikupas sebelum ini tetapi juga melibatkan ciri-ciri, faktor-faktor lain yang perlu ada dan diamalkan oleh pengurus-pengurus pendidikan. Di peringkat sekolah umpamanya, peranan pengetua sebagai pemimpin berkualiti mestilah menyerap dalam 5 aspek iaitu sebagai ahli falsafah pendidikan, sebagai model pendidikan, menyokong pendidikan, rakan sependidikan (educational patner) dan sentiasa memulakan perubahan pendidikan (educational innovator). Jika kelima-lima aspek ini mampu dilaksanakan sudah barang tentu akan mewujudkan proses dua hala antara pemimpin dan pengikut dalam pengurusan di sekolah. Keberkesanan ini juga akan turut dipengaruhi oleh pengetahuan, sikap, komitmen, gaya kepimpinan dan orientasi (reaktif atau proaktif) seseorang pengurus pendidikan tersebut.
Sergioranni T.J. (1984) dalam bukunya Leadership and Excellent Schoolingpula pernah mengkonsepsikan kepimpinan berkualiti berdasarkan kuasa (forces) dan kemudahan-kemudahan yang ada padanya bagi melaksanakan sesuatu perubahan. Pemimpin berkualiti tegasnya mesti berkemampuan menjadi pemimpin teknikal yang berfungsi sebagai jurutera dalam teknik pengurusan dan strategi manipulasi, pemimpin manusia khsusnya dalam aspek hubungan manusia, individu dan menggerakkan (motivate) staffnya, pemimpin pendidikan yang berperanan sebagai `clinical practioner dengan menyumbang kepakaran dalam bidang pendidikan, pemimpin simbolik yang berperanan sebagai pemberi isyarat tentang nilai dan matlamat yang hendak dicapai, dan yang terakhir iaitu pemimpin budaya yang berfungsi mencari, mentafsir dan memperkukuhkan nilai dalam organisasi yang dipimpinnya.
Kepimpinan yang berkualiti ini juga sebenarnya perlu ditambahsegarkan lagi melalui program peningkatan profesionalisme yang perlu bagi setiap pengurus pendidikan termasuk pengetua. Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dato Dr. Shukur Abdullah bahawa guru-guru muda yang berpotensi dan berpeluang untuk dilantik sebagai Pengetua akan dilatih atau wajib mengikuti dan lulus kursus khas berkaitan ilmu dan asas-asas kepengetuaan amatlah wajar. Bagi saya sudah tiba masanya pengurus-pengurus pendidikan termasuk pengetua di sekolah diwajibkan memiliki diploma berkaitan kepimpinan dan kepengetuaan sebelum dilantik ke jawatan berkenaan bagi memastikan mereka ini benar-benar mampu mengurus, memimpin dan menjadi penerus agenda pendidikan yang semakin kompleks. Perlantikan pengurus pendidikan termasuk pengetua seharusnya bukan sahaja berdasarkan faktor kekananan sahaja tetapi juga meliputi prestasi kerja, tahap keilmuan dan kepimpinan yang benar-benar cemerlang.
Dengan adanya ciri-ciri tersebut bukan sahaja dapat membuktikan kepemimpinan seseorang pengurus pendidikan tetapi juga dapat membangunkan potensi subordinat melalui proses yang lebih menyeluruh di samping mencerminkan kreativiti dalam pengurusan organisasi berkenaan . Kepimpinan dan proses-prosesnya ini seharusnya dilihat selaras dengan sifat organisasi pendidikan masa kini yang lebih terbuka dan bersifat global sesuai dengan hasrat kerajaan Malaysia memartabatkan kualiti pendidikan negara kita ke tahap dunia.