ani_book.gif (20400 bytes)ULASAN  BUKU

Judul Buku Pengurusan Islam Abad Ke-21
Pengarang Wan Liz Ozman Wan Omar
Penerbit Utusan Publications & Distributors
Tahun Terbit 1996
Jumlah Halaman 296 halaman
Pengulas Azman Hj. Adnan

SINOPSIS

BAB 1 – PENILAIAN SEMULA DASAR PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM

Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam pentadbiran awam telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan pada tahun 1985. Dasar ini bolehlah dianggap sebagai paksi kepada usaha kerajaan menyuburkan kehidupan beragama di kalangan penduduk di Malaysia ini khususnya di kalangan penganut Islam. Di antara program-program yang dijalankan ialah ltihan membina sikap, Kursus Bina Insan, ceramah-ceramah dan kursus-kursus agama. Kerajaan juga tmenerbitkan buku panduan mengenainya iaitu, Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam (1981) dan Tonggak Dua Belas: Penerapan Nilai, Norma dan Etika Perkhidmatan (1982).

Pada pengamatan penulis beberapa aspek perlu dikaji dan dianalisis semula dalam pelaksanaannya. Pertama, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam yang sedia ada masih bersifat ad-hoc, kurang sistematik dan berkesinambungan (continuity).Pelaksanaan dasar ini banyak bergantung kepada budi bicara pihak pengurusan atau ketua sesebuah agensi. Jika ketua tiada komitmen yang tinggi maka dasar ini cuma tinggal atas kertas sahaja. Kedua, walaupun risalah-risalah mengenai dasar ini telah diterbit kan oleh BAHEIS namun ia cuma memfokuskan kepada usaha pengamalan nilai-nilai baik dan sikap murni yang perlu diterapkan di kalangan kakitangan awam dan bukannya menghuraikan metodologi pelaksanaannya dengan lebih konkrit dan menyeluruh. Ketiga, penerapan paradigma tauhid dalam penggubalan dasar dan strategi nasional melalui langkah Islamisasi secara bertahap belum dapat dilakukan secara lebih sistematik kerana mungkin usaha ke arah ini memerlukan masa yang panjang dan persiapan yang secukupnya.

Oleh yang demikian penulis berpendapat, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam yang wujud kini hendaklah diperbaiki supaya ia menjadi satu bentuk blue print, lengkap dan total sifatnya. Dasar sedia ada terlalu bersifat umum.

BAB 2 – REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM MENGIKUT KACA MATA ISLAM

Sejak kebelakangan ini, sistem perkhidmatan awam telah mengalami perkembangan yang pesat dengan pelbagai inovasi dan pembaharuan yang diperkenalkan ke arah mengalih pemikiran, orientasi dan cara bekerja sebagai persiapan kerajaan dan Malaysia menuju negara perindustrian menjelang tahun 2000. Antara reformasi yang telah dilaksanakan ialah mewujudkan budaya kerja berkualiti dan Kumpulan Kawalam Muti Kerja (QCC), melaksanakan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM), memperkenalkan Piagam Pelanggan, melancarkan Sistem Saraan Baru (SSB), Menubuhkan sistem maklumat berkomputer (Civil Service Link), memperkenalkan konsep pengurusan mutakhir seperti re-engineering, strategic planning dan KAIZEN, menubuhkan Lebuh raya Informasi, menerapkan nilai-nilai dbaru dalam pentadbiran, meningkatkan daya inovasi dalam urusan pentadbiran dan penubuhan Unit Pemeriksaan di Unit Perancangan Pengurusan dan Modenisasi Pentadbiran Malaysia (MAMPU) di Jabatan Perdana Menteri.

Walaubagaimanapun terdapat dalam sesetengah dasar dan reformasi itu tidak dihubungkan langsung dengan konotasi Islam walaupun diakui terdapat intipati konsep-konsep pengurusan moden serta inovasi yang diperkenalkan di atas secara umumnya selari dengan prinsip-prinsip Islam.

Dalam konteks Islam, reformasi dan perkhidmatan awam mempunyai pertalian rapat khususnya dari segi asas dan prinsip reformasi. Secara ringkas konsep dan ciri-ciri utama perkhidmatan kerajaan dalam Islam ialah pertama, keperluan perkhidmatan awam sebagai tugas dan amanah yang besar. Kedua, Islam berpegang kepada al-misl-fa-la-misl iaitu pemilihan kakitangan yang terbaik. Ketiga, pentabir mematuhi tatatertib pentadbiran. Kelima, penilaian melalui sistem pemeriksaan diri. Keenam, kebebasan bersuara. Ketujuh, ketaatan adalah terbatas iaitu hendaklah pada amru bil makruf dan bukan amru nahi munkar. Kelapan, penyalahgunaan kuasa dan kedudukan ditegah. Kesembilan, larangan berniaga kepada kakitangan awam. Kesepuluh,penghapusan karenah birokrasi, kesebelas, persamaan antara kakitangan awam dan rakyat dan keduabelas, menentang sikap pilih kasih dan nepotisme.

BAB 3 – ISLAMISASI PENGURUSAN AWAM – SATU ANJAKAN PARADIGMA

Pengarang mengenengahkan perlunya dibuat anjakan paradigma (shift our paradigm) dengan merubah pendekatan dan modus operandi dalam mereformasikan dan menyegarkan jentera pentadbiran negara agar Islamisasi yang sebenarnya adalah berteraskan Sistem Pengurusan Islam. Pengarang memberi 7 sebab utama mengapa perlu mencorak semula manhaj masa kini kepada paradigma baru yang menuntut Islamisasi yang menyeliuruh. Pertama, Islamisasi pentadbiran meatilah bergerak sejalan dengan konsep addin iaitu Islam sebagai satu cara hidup. Kedua, pengurusan hendaklah dibuat mengikut acuan kita sendiri dan bukan meniru bulat-bulat model-model dari barat mahupun timur.Ketiga, sistem pentadbiran awam hendaklah dihubungkan dengan ajaran Islam dari segi falsafah, pendekatan, konsep dan operasinya. Keempat, pembangunan ummah hanya dapat dilaksanakan apabila kita dapat mengislamisasikan pentadbiran. Kelima, Islamisasi pengurusan dapat membentuk identiti bangsa bermartabat. Keenam, kita perlu membuat anjakan paradigama kerana pemikiran pengurusan kontemporari yang diceduk bulat-bulat dari barat hanya akan `mensekularisasikan’ masyarakat Islam. Ketujuh, Islamisasi pentadbiran merupakan pelantar atau landasan kepada pembinaan sebuah tamadun Islam yang bercirikan sistem nilai- dan prinsip-prinsip Islam.

BAB 4 - KONSEP TAUHID DAN IMPLIKASINYA TERHADAP PENGURUSAN

Pendekatan yang bersepadu dalam pengurusan semestinya berteraskan konsep tauhid. Konsep tauhid ini mencerminkan pandangan dunia dan alam yang bersepadu. Allah Taala sebagai Tuhan sekalian alam dan Maha Berkuasa ke atas sekalian mahluk-Nya. Oleh itu sebarang usaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan awam hendaklah berteraskan welstanchauung tauhid tersebut.

Sekiranya semangat tauhid ini dijiwai oleh individu muslim dengan sepenuhnya maka ia akan memberikan implikasi atau dampak yang mendalam dalam kehidupan sehariannya Implikasi yang dapat dihubungkaitkan dengan pentadbiran ialah pertama, individu muslim akan bersifat terbuka, tidak jumud dan sempit pemikirannya. Kedua, konsep tauhid melahirkan insan yang mempunyai harga diri dan keyakinan diri yang paling tinggi. Ketiga, semangat tauhid menjana insan yang mempunyai rasa rendah diri. Keempat, pegangan konsep tauhid akan menjadikan manusia itu orang yang soleh, berani bertindak dan berdiri tegak dengan kebenaran. Kelima, orang yang beriman tidak mudah putus asa apabila ditimpa kegagalan. Keenam, semangat tauhid membina insan yang mempunyai tahap kesabaran, keazaman, dan kesungguhan yang tinggi. Ketujuh, semangat tauhid mewujudkan sikap aman, reda dan menghakis sikap tamak, haloba dan dengki. Kelapan, konsep tauhid membuatkan manusia patuh kepada peraturan-peraturan Allah.

BAB 5 – KE ARAH PENGURUSAN INSAN TOTAL DALAM PENGURUSAN ISLAM

Untuk melihat kejayaan gerakan Islamisasi dalam sektor awam secara bersepadu prasyarat utamanya ialah pelaksanaan pengurusan melalui perspektif sistem. Konsep ini menuntut kesepaduan kepada pelaksanaan "Sistem Pengurusan Islam" (Islamic Management System) atau IMS secara total untuk mengelakkan kepincangan dan mengatasi kelemahan dasar dan pendekatan yang sedia ada dalam pentadbiran awam.

Pengarang menjelaskan 6 sumber pengurusan Islam iaitu pertama ialah Al-Quran. Kedua, Sunnah Rasullah. Ketiga, ialah amalan Khalifah Ar-Rasyidin iaitu Abu Bakar Ibnu Siddiq, Umar ibnu Khattab, Ali ibnu Abi Talib dan Uthman ibnu Affan. Keempat ialah pemikiran klasikal beberapa ilmuan Islam yang telah menulis dan mengkaji tentang ilmu pentadbiran dan kepimpinan. Kelima ialah konsep ijtihad (independent reasoning) dan ijmak dalam Islam. Keenam ialah pemikiran di kalangan ilmuan moden sama ada Barat atau Timur.

Islam melihat fungsi pengurusan bukan sahaja dalam lingkungan lokal atau nasional bahkan ummah sejagat. Kecemerlangan sesebuah pentadbiran awam bukan hanya dirasai oleh penduduk dalam negeri itu sahaja bahkan mempunyai kaitan dengan masa depan tamadun Islam itu sendiri.

Pengarang telah mencadangkan Sistem Pengurusan Islam yang sedia ada `ditransformasikan’ kepada satu bentuk model pengurusan yang baru yang dinamakan Pengurusan Insan Total (Total Human Management) atau THM. THM menekankan nilai-nilai dan aspek-aspek universdal yang diyakini dapat diterima oleh semua pihak daripada latar belakang agama dan etnik yang berbeza-beza. Nilai-nilai universal dalam pengurusan ini sememangnya terdapat adalam agama-agama lain walaupun dari segi falsafahnya penekanan perlu diberi kepada konsep-konsep yang terdapat dalam Islam. Berbeza dengan pendekatan pengurusan moden yang lain seperti TQM, Kaizen, MBO, Total Quality Qontrol dan lain-lain yang lebih menekankan proses, kaedah dan end result atau kesudahan akhir seperti keuntungan dan kualiti perkhidmatan tetapi THM ialah pendekatan yang menggabungkan nilai-nilai universal yang humanistic dan spritualistic akan lebih mudah diterima sebagai pendekatan atau gaya pengurusan baru oleh masyarakat bukan Islam. THM disyorkan supaya diaplikasi dan dipopularkan dalam `merevolusikan pengurusan kontemporari’. Keistimewaan THM ialah ia mengambil yang terbaik dan yang palin secocok daripada teknik pengurusan sedia ada di samping menekankan aspek-aspek lain yang tidak kurang pentingnya ke arah pembinaan pengurusan holistik, bersepadu, spiritualistic dan humanistic seperti penghayataan nilai-nilai sejagat, etika kerja murni, kesepaduan pembinaan sumber manusia secara bersepadu, kesetikawanan terhadap alam sekitar, pengamalan nilai-nilai kerohanian dan pembangunan masyarakat mapan dan seimbang. Paksi kepada THM ialah insan iaitu mengurus keperluan insan dalam ruang lingkupnya yang menyeluruh. Ia bukan setakat memenuhi keperluan pelanggan dari segi pengeluaran produk atau perkhidmatan yang berkualiti bahkan mementingkan hubungan kemanusiaan seutuhnya di antara organisasi dengan pelanggan, menjaga adab-adab, menekankan etos kerja bercirikan dorongan kerohanian, mengambil kira kesan aktiviti pengeluaran terhadap masyarakat, alam sekitar dan seumpamanya.

BAB 6 – PERBANDINGAN SISTEM PENGURUSAN ISLAM, BARAT DAN JEPUN

Penjajahan dan imperialisme telah mengakibatkan sistem pengurusan Barat diagung-agungkan sehingga Islam sebagai model pengurusan yang unggul diketepikan oleh pentadbir awam. Perbezaan besar pengurusan Barat dengan Islam ialah Barat lebih berasaskan kepada model rasional, analitikal causative dan probalistic yang merangkumi apa yang dinamakan sebagai konseptualitasi abstrak. Islam pula adalah lebih unuk dan dinamik kerana ia lebih komprehensif yang menekankan standard etika, perseimbangan antara kemajuan material dan rohani, berakarumbikan tradisi lokal, menentang ketidakadilan dan menekankan kerjasama bukannya persaingan dalam perlakuan pentadbiran. Dengan kata lain menurut perspektif Islam, ilmu pengurusan Barat adalah ilmu yang tempang dan sekular yang tidak menepati kehendak Islam dari segi asas, konsep dan falsafahnya. . Ini kerana ia lebih berteraskan kepada pendekatan rasinal saintifik semata-mata dengan mengenepikan nilai-nilai kagamaan dan kerohanian. Walau bagaimanapun terdapat teknik, pendekatan dan metodologi tertentu dalam pengurusan Barat yang boleh diterima pakai kerana ia agak bebas daripada unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam.

Perbandingan antara pengurusan Jepun dengan Islam pula ialah pengurusan Jepun seperti juga barat tidak menghubungkan langsung nilai-nilai etika dan budaya kerja dengan agama. Kesan akhirnya ialah matlamat menghalalkan cara dan masyarakat menjadi masyarakat sekular. Orang Jepun lebih mementingkan matlamat kumpulan atau organisasi sehingga mengetepikan matlamat lain yang tidak kurang pentingnya seperti keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

Oleh itu penulis melihat penting pengadunan pengurusan Islam dengan pengurusan keontemporari. Proses penyaringan atau pengadunan ini pula hendaklah berpaksikan kepada konsep tauhid sementara nilai-nilai budayanya pula bersumberkan budaya atau etos Melayu. Idea-idea dari luar adalah pelengkap kepada Sistem Pengurusan Islam tersebut yang bermakna idea-idea dari luar itu disesuaikan dengan sistem nilai, waestanchauung dan sosio-budaya masyarakat setempat.

BAB 7 – PENGURUSAN STRATEGIK DAN PENGISLAHAN ORGANISASI

Pengurusan strategik merupakan pendekatan yang digunakan secara meluas mutakhir ini untuk mentransformasikan sesebuah organisasi. Dalam usaha memberikan garis panduan kepada penjawat awam melaksanakan proses pengislahan organisasi masing-masing menurut paradigma Islamiah beracuankan Sistem Pengurusan Islam, pengarang mengesyorkan supaya konsep pengurusan strategik digunakan. Konsep ini dapat dijadikan alat untuk membantu mentransformasikan organisasi mengikut visi yang telah ditetapkan untuk meningkatkan perkhidmatan, merubah budaya kerja, menstrukturkan organisasi ataumengembangkan operasi organisasi. Penggunaan pengurusan strategik dalam melakukan Islamisasi pentadbiran sektor awam ini dapat memberi faedah iaitu, menjawab persoalan-persoalan utama yang berkaitan dengan perubahan organisasi, memberi respons yang sesuai kepada alam persekitaran, memberikan garis panduan mengenai keptusan-keputusan yang diambil, memberi gambaran mengenai pengharapan, membantu menangani perubahan dan masalah-masalah pelaksanaan dan melicinkan penilaian hasil perubahan secara sistematik.

Dalam konteks Islamisasi pengurusan organisasi ini apa yang hendak kita lakukan ialah mengislahkan organisasi melalui pentransformasian budaya kerja dan amalan menurut Sistem Pengurusan Islam. Dalam hal ini terdapat 3 prasyarat untuk melakukan pengislahan iaitu kenapa peru berubah? Berubah ke arah mana? Bagaimana hendak berubah?

BAB 8 – KECEMERLANGAN MELALUI PENGURUSAN ISLAM

Penulis mengemukakan 4 contoh kejayaan organisasi dalam menerapkan gaya pengurusan dan budaya kerja berteraskan nilai-nilai Islam dan tradisi lokal di Malaysia iaitu Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia dan Sapura Holding Bhd. Berdasarakan 4 kajian kes yang dijalankan di organisasi yang disebutkan di atas dapat dirumuskan 5 kesimpulan utama. Pertama, prinsip dalam pengurusan Islam seperti etika kerja, kualiti dan kecemerlangan, syura dan persaudaraan, keseimbangan material dan rohani, sifat kekitaan dan kekeluargaan dapat diaplikasikan dengan jayanya dalam organisasi. Kedua, kejayaan dalam mempraktikkan pengurusan yang value-based sangat bergantung kepada pihak pengurusan atasan atau ketua organisasi. Ketiga, keupayaan organisasi berkenaan menerapkan nilai-nilai murni menunjukkan bahawa etika dan etos kerja tidak dapat dipisahkan dengan kejayaan sesebuah organisasi terutama dalam era persaingan dan kejayaan sesebuah organisasi. Keempat, dalam menerapkan amalan pengurusan yang cemerlang, organisasi berkenaan secara umumnya tidak mencanangkan aspek-aspek atau label Islam secara melulu. Kelima, organisasi berkenaan juga mempamerkan tanggungjawab sosial yang tinggi bukan sahaja terhadap stafnya bahkan juga kepada anggota masyarakat. Ini menunjukkan bahawa pengurusan Islam atau nilai-nilai yang terdapat dalam pengurusan Islam boleh dipraktikkan dalam dasawarsa yang canggih untuk menjamin keunggulan kepengurusan untuk sektor awam atau korporat.

BAB 9 – PENGURUSAN ISLAM DAN CABARAN ABAD KE-21

Proses Islamisasi pentadbiran awam di Malaysia khususnya akan menentukan corak dan hala tuju negara ini pada masa depan. Oleh kerana itu kita seharusnya mengetahui dan nenangani cabaran-cabaran utama yang bakal dihadapi dalam memacu roda Islamisasi tersebut. Penulis memperturunkan 9 cabaran strategik dalam pelaksanaan pengurusan Islam di sektor awam menjelang abad ke-21 yang akan datang. Cabaran-cabaran tersebut ialah merealisasikan Wawasan 2020, menangani letusan ilmu pengetahuan Barat, menangani perubahan Era 2000, menghadapi kemunculan `Abad Asia’, menghadapi persaingan ekonomi serantau dan global,

mengurus ledakan informasi dan kecanggihan teknologi, cabaran kebangkitan semula Islam, menentang gejala rasuah, nepotisme dan kronisme, dan menangani isu-isu sosio-budaya yang wujud.

BAB 10 – ISLAMISASI PENTADBIRAN : HALANGAN DAN PRASYARAT KEJAYAAN

Penulis mengemukakan beberapa halangan atau kekangan utama yang bakal dihadapi dalam melaksanakan program Islamisasi dalam pentadbiran awam. Antaranya ialah pertama, ketidakyakinan pihak tertentu terhadap bentuk penyelesaian menurut Islam. Kedua, ketidakfahaman sesetengah penggubal dan pelaksana dasar mengenai Islam. Ketiga, sistem penyelarasan dan pengawasan yang kadang-kadang longgar. Keempat, kekurangan tenaga pakar Islam dalam bidang pengurusan Islam. Kelima, penentangan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Keenam, kurangnya komitmen dan keyakinan di kalangan pihak tertentu untuk mencari penyelesaian terhadap kemelut masyarakat. Ketujuh, kekurangan bahan bermutu tentang pengurusan Islam masa kini. Ketujuh, wujudnya pemikiran sekular di kalangan masyarakat dan ketujuh, tekanan secara langsung atau tidak langsung dari musuh-musuh Islam dan kuasa besar.

Oleh yang demikian terdapat beberapa faktor yang yang mempunyai pertalian yang rapat antara satu sama lain yang perlu diambilkira dan ditekankan untuk mencapai kejayaan tersebut. Faktor kejayaan tersebut ialah iltizam daripada pihak pemerinta, pembentukan dan percambahan budaya ilmu dalam pentadbiran, penekanan diberi terhadap nilai-nilai yang bersifat kemasyarakatan, konsep-konsep al-Quran dijadikan sebagai asas penggubalan polisi negara dan peranan instituti yang berada di dalam dan di luar kerajaan.

BAB 11 - STRATEGI ISLAMISASI

Untuk melaksanakan program Islamisasi secara bersepadu dan menyeluruh berpaksikan tasawwur tauhid, beberapa strategi baru yang bertindanlapis (interdependent) dan sistematik perlu dibentuk. Terdapat 11 bentuk strategi baru untuk melaksanakan Islamisasi dan penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran awam di negara ini. Cadangan-cadangan tersebut ialah meningkatkan kefahaman pegawai perkhidmatan awam melalui program latihan intensif berpandukan Modul Latihan Pengurusan Islam, kerajaan menerbitkan buku garis panduan yang lengkap mengenai Program Islamisasi Pentadbiran Awam, kerajaan dan pihak-pihak yang prihatin hendaklah menggiatkan penyelidikan berterusan untuk mewujudkan sistem pentadbiran dan budaya kerja yang sistematik, menubuhkan Institut Pengurusan Islam Malaysia, mewujudkan jawatankuasa khas Islamisasi di setiap sektor atau bidang, perlunya memobilisasikan pakar rujuk Islam dalam pelaksanaan atau penggubalan sesuatu dasar negara untuk memastikan tidak bertentangan dengan Islam, melaksanakan pengawasan dan pterhadap amalan-amalan seperti rasuah dan ketidakadilan, menjadikan Islamisasi sebagai satu agenda nasional, mengambilkira pandangan dan pemikiran penganut bukan Islam di negara ini khususnya dari segi sensitiviti agama, adat resam dan politik dengan cara berdialog, mengamalkan sikap keterbukaan Islam dalam menerima idea-idea dari luar, dan akhir sekali pihak berwajib perlu menggubal Pelan Tindakan Program Islamisasi Pentadbiran Awam secara terperinci.

KUPASAN DAN ANALISIS

Berdasarkan bacaan secara komprehensif dan sinopsis yang dapat ditulis berdasarkan bab ke bab, saya merumuskan bahawa buku tulisan Wan Liz Wan Omar ini merupakan satu lagi hasil penulisan ilmuan tempatan yang berbentuk ilmiah dalam bidang pengurusan khususnya pengurusan awam yang baik dari segi garapan isinya, kesinambungan perbincangannya yang agak kritis dan olahan bahasanya yang agak mudah difahami. Beliau bukan sahaja mengemukakan idea-idea, model-model pengurusan Islam yang dijuruskan dalam skop negara Malaysia yang berbilang ras dan berbeza bahasa, agama serta sosiobudaya malah berlandaskan kepada sumber-sumber Islam, rujukan ilmuan Islam dan kajian-kajian kontemporari di negara ini. Saya berpendapat buku ini sesuai dijadikan rujukan oleh pihak pengurusan organisasi khususnya pentadbir awam sektor perkhidmatan awam, golongan akademik, malah pelajar-pelajar yang ingin mengkaji tentang tentang pengurusan dan pentadbiran khususnya pengurusan Islam

Dalam bab pertama, penulis membuat sorotan dan penilaian semula terhadap Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam yang dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan pimpinan Dato’ Seri Dr.Mahathir Mohamad pada tahun 1985 selepas dilantik sebagai Perdana Menteri yang kelima. Saya melihat analisis yang dibuat oleh penulis merupakan analisis awal terhadap dasar berkenaan kerana sebelum ini belum ada kajian khusus dibuat oleh mana-mana pihak mengenainya. Oleh itu analisis beliau amat penting untuk menilai semula intipati serta pelaksanaan dasar tersebut memandangkan semakin besarnya peranan Islam dalam mencorak arus pembangunan negara pada masa depan.

Saya amat bersetuju dengan pandangan beliau bahawa pelaksanaan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam yang sedia ada bersifat ad-hoc, kurang sistematik dan berkesinambungan. Hal ini dapat kita lihat pertama melalui buku Panduan Al-Quran dan Hadis Bagi Pegawai dan kakitangan Awam (1988) yang dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri. Aspek dan nilai yang diberi penekanan dalam buku berkenaan cuma dijelaskan dengan cuma memetik hadis-hadis dan ayat-ayat Quran sahaja dan tidak menerangkannya secara terperinci bagaimana nilai tersebut dapat diamal dan diterap oleh setiap pihak dalam perkhidmatan awam. Ia juga tidak menghuraikan bagaimana perubahan dan transformasi organisasi dapat dilakukan untuk menerapkan nilai-nilai murni tersebut. Oleh itu secara praktikalnya buku tersebut sukar dihayati oleh kakitangan awam dengan sebaik mungkin. Kedua, Panduan Rancangan Penerapan Nilai-Nilai Islam (1990) yang dikeluarkan oleh BAHEIS juga hendaklah merangkumi dasar-dasar negara dan bukan setakat pentadbiran semata-mata. Pihak wewenang sendiri pada dasarnya menyedari tentang pentingnya nilai islam dijadikan sebagai dasar negara. Oleh itu apa yang perlu dilakukan sekarang ialah dari segi pengisian serta pencernaannya dalam bentuk dasar, program dan strategi yang lebih konkrit.

Apa yang jelas, kelemahan-kelemahan yang diajukan oleh pengarang mengenai dasar berkenaan semestinya menuntut kita masyarakat Malaysia untuk mencari pendekatan baru bagi mengatasinya. Jika tidak kita akan sentiasa teraba-raba seperti kisah sekumpulan orang buta dengan seekor gajah, tercari-cari punca sebenar ketidakupayaan kita pada masa kini untuk mewarnai pemikiran kakitangan awam dan mencorak etos kerja mereka ke arah yang lebih Islamik.

Dalam bab 2, pengarang banyak menyentuh tentang perlunya reformasi dilakukan dalam perkhidmatan awam meliputi objektif, intipati dan konsep perkhidmatan awam yang kita inginkan. Dalam hal ini apa yang dapat saya rumuskan ialah reformasi boleh dilaksanakan tetapi dengan cara sejauhmanakah kita mampu menyisipkan nilai-nilai agama ke dalam konsep-konsep pengurusan moden di negara ini tanpa perlu bersikap ekstrim, rigid dan apologetik. Ini boleh dilakukan melalui pendekatan Islam yang moderat iaitu secara berhikmah dan toleransi. Apa yang penting pendekatan Islam yang kita gunakan tidak akan menyebabkan golongan bukan Islam tersinggung, terasing dan tersisih.

Dalam konteks ini apa yang perlu diutamakan dalam melaksanakan reformasi ini ialah kita perlu terlebih dahulu merubah sikap, minda, hati dan jiwa individu itu sendiri khususnya kakitangan awam.

Walaupun pengarang banyak membahaskan tentang kelemahan pelaksanaan dasar berkenaan tetapi suatu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah sistem pentadbiran awam di Malaysia bolehlah dianggap antara yang terbaik khususnya dari segi ketelusan, kecekapan, kepimpinan, kecemerlangan, produktiviti, kualiti dan keupayaannya menangani perubahan jika dibandingkan dengan negara-negara membangun lain termasuk negara-negara Islam.

Dalam bab ketiga, pengarang menyentuh pula tentang perlunya anjakan paradigma untuk melaksanakan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam pentadbiran negara. Saya amat bersetuju dengan pengarang kerana apabila kita mahu membuat reformasi dan perubahan khususnya yang melibatkan dasar dan pentadbiran atau pengurusan, apa yang paling penting ialah sejauhmanakah kita mampu menyediakan asas atau landasan yang kukuh untuk setiap individu itu memahami, menghayati dan mengimplimentasikan matlamat dasar itu. Oleh itu untuk merealisasikannya kita perlulah menggunakan pendekatan yang bersepadu. Saya mengambil contoh daripada pendidikan bersepadu yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan sekarang. Mengikut konsep ini ia perlu berdasarkan falsafah kesepaduan di antara iman dan ilmu, jasad dan roh, dunia dan diri, fikiran dan hati, akal dan wahyu. Tiga unsur utama di sini ialah pengisian roh, akal dan jasmani harus dipenuhi. Sehubungan dengan itu, pendekatan bersepadu ini jika diterapkan dalam pengurusan awam akan dapat membentuk insan berkualiti menyeluruh dan memiliki sifat-sifat keseimbangan. Penerapan nilai-nilai Islam tidak boleh dilaksanakan secara secebis-secebis dengan mengambil satu bahagian sahaja dan meninggalkan bahagian yang lain. Pendekatan Bersepadu ini jika dapat dihayati oleh kakitangan dan individu muslim akan memberikan implikasi yang luas dan mendalam dalam sikap, minda dan perilaku mereka dalam perkhidmatan awam.

Dalam bab keempat, pengarang banyak memaparkan pelaksanaan dasar berteraskan konsep tauhid yang dianjurkan oleh Islam. Ini adalah suatu hal yang tidak boleh disanggah kerana dalam Islam manusia adalah bertindak sebagai khalifah di muka bumi ini, alam ini dan segala isinya adalah milik Pencipta iaitu Allah S.W.T. Akhirnya segala aktiviti manusia di bumi adalah mengarah kepada pengabdian kepada Allah. Ini kerana tauhid adalah paksi kepada Islam. Setiap amalan, peraturan dan sebagainya dalam Islam adalah berteraskan pancaran tauhid. Tanpa tauhid tiada apa-apa dalam Islam. Oleh itu setiap individu Islam hendaklah memahami dan menghayati falsafah tauhid ini dan menyedari dampaknya terhadap kehidupan harian masing-masing supaya pentadbiran awam dapat dilaksanakan seiring dan sejalan dengan matlamat Islamisasi.

Dalam bab 5, pengarang menganjurkan satu model yang diistilahkan sebagai Pengurusan Insan Total (Total Human Management) atau THM yang diolah daripada Sistem Pengurusan Islam. Berdasarkan model ini, nyata pengarang cuba memperbaiki kelemahan-kelemahan dalam model yang sedia ada dengan penumpuan lebih khusus kepada ciri-ciri keinsanan yang hakiki, lebih sepadu dan seimbang seperti mana matlamat reformasi yang dihuraikan dan falsafah tauhid yang perlu dipatuhi dalam bab-bab yang terdahulu. Bagi saya model ini adalah suatu model yang baik dan praktikal jika diimplimentasikan ke dalam sektor awam.

Pengarang seterusnya membuat analisa perbandingan antara sistem pengurusan Islam, Barat dan Jepun dalam bab keenam. Suatu yang tidak dapat dinafikan sistem pengurusan Islam adalah yang unggul dan merupakan alternatif kepada sistem pengurusan kontemporari yang diilhamkan oleh Barat dan Jepun yang rata-ratanya menyisihkan aspek keagamaan dan kerohanian dalam pengurusan sebaliknya mengutamakan proses yang akhirnya hanya menginginkan keluaran (output) yang menguntungkan.

Walau bagaimanapun saya berpendapat bahawa, tidak semua teori pengurusan Barat dan Jepun tidak sesuai untuk diaplikasikan dengan Islam dan budaya masyarakat negara ini. Contohnya, penentangan terhadap rasuah, bekerja kuat, bekerja dalam pasukan, penambahbaikan dan sebagainya yang ditakrifkan oleh para pemikir Barat dan Jepun yang menjadi keprihatinan mereka adalah selari dengan asas-asas Islam. Oleh itu metodologi pengadunan pengurusan Islam dengan pengurusan kontemporari yang dicadangkan oleh pengarang adalah relevan. Natijahnya, kita mahukan yang terbaik sesuai dengan syariah yang dianjurkan oleh Islam.

Dalam bab ke-8 dan 9 pengarang menghuraikan tentang pendekatan strategik dalam melaksanakan dasar Islamisasi di negara ini. Ini penting kerana ia merupakan satu alat untuk membantu kita mentransformasikan sesebuah organisasi mengikut visi yang telah ditetapkan. Hasilnya kajian yang dilakukan oleh beberapa sarjana di beberapa organisasi seperti di Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ) yang disebutkan dalam bab 9 menjelaskan implikasi dan natijah positif yang dapat dikutip dari pelaksanaan dasar penerapan nilai-nilai Islam atau islamisasi ini. Ini membuktikan bahawa pengurusan Islam atau nilai-nilai yang terdapat dalam Pengurusan Islam boleh diaplikasikan dalam dunia yang serba canggih ini untuk mencapai keunggulan dalam pengurusan sektor awam.

Tiada suatu program atau dasar yang tidak diliputi dengan kekangan atau halangan dan cabaran. Begitu juga dalam melaksanakan Pengurusan Islam seperti yang dibincangkan dalam bab 10. Matlamat pembangunan negara, persaingan dalam alaf baru dan era global di samping perubahan-perubahan sosial, politik dan budaya merupakan cabaran terhadap pengurusan Islam ini.

Walau bagaimanapun saya optimis bahawa suatu ketika nanti kita mampu melaksanakan sistem pengurusan ini dengan tuntas asalkan semua peringkat masyarakat bersama-sama membantu melaksana dan menjayakannya. Saya menjangkakan fenomena ini berdasarkan beberapa indikator yang dapat dapat dilihat hari ini iaitu pertama pemerintah negara kini yang begitu responsif dan terbuka terhadap pelaksanaan sistem Islam di banyak bidang. Kedua, umat Islam di Malaysia pada umumnya sudah memahami dan menerima Islam sebagai satu cara hisup. Ketiga, semangat kesedaran baru Islam di kalangan penduduk Islam di malaysia akan menjadi pemangkin ke arah Islamisasi menyeluruh. Kelima, terdapat kecenderungan pihak pemerintah terbesar negara ini untuk melihat Islam dijadikan teras kepada sistem pemerintahan negara dan keenam, semakin ramainya ilmuan dan aktivis Islam muda yang beraspirasi Islam yang tinggi untuk melihat terlaksananya Islam sebagai nadi pemerintahan. Ini termasuklah siswazah yang dikeluarkan oleh UIA, Al-Azhar, ISTAC dan pusat-pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara termasuk juga gerakan Islam seperti ABIM, JIM, PAS dan sebagainya.

Dalam bab akhir pengarang cuba pula mencadangkan beberapa strategi untuk mengimplimentasikan Islamisasi berdasarkan bab-bab yang dibincangkan sebelum ini. Ini penting kerana pelaksanaan program Islamisasi dan pentadbiran mengikut konsep Islam di Malaysia perlu dilaksanakan secara penuh berhikmah, bijaksana dan bertahap-tahap. Ia tidak boleh dilaksanakan secara drastik atau mendadak tanpa persiapan yang secukupnya dan mantap. Sebaliknya gerakan Islamisasi perlu digiatkan melalui kerangka kerja strategik yang rapi secara evolusi dengan mengambilkira pluraliti dan sensitiviti masyarakat serta senario sosiopolitik Malaysia.

KESIMPULAN

Berdasarkan kupasan yang dihuraikan bab demi bab di atas dapatlah dibuat rumusan bahawa kandungan buku ini telah dapat merungkaikan beberapa persoalan utama yang berkaitan dengan usaha untuk mengaplikasikan Islam sebagai paksi kepada sistem pentadbiram awam di Malaysia. Kita mesti yakin bahawa keunggulan bangsa Malaysia pada masa depan, khususnya dalam bidang kepengurusan sangat bergantung kepada sejauhmana mereka menerima sekaligus mengaplikasikan Sistem Pengurusan Islam dalam urusan keorganisasian dan pentadbiran. Malah era persaingan global yang semakin sengit sekarang menuntut kita mencari dan meneroka alternatif baru yang lebih tuntas dalam bidang pengurusan untuk melonjakkan Malaysia ke era kegemilangan dan kemajuan par excellence pada abad mendatang.

Pendekatan untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran awam secara bersepadu ini bolehlah dianggap sebagai satu daripada langkah utama untuk memenuhi tuntutan Wawasan 2020. Ini mustahak kerana Wawasan 2020 telah menegaskan bahawa kita hendaklah maju menurut acuan sendiri tanpa mengabaikan nilai-nilai agama, aspek-aspek moral dan tradisi tempatan. Dalam hal ini Islam merupakan satu-satunya formula yang mampat untuk mencapai aspirasi tersebut. Sekiranya gerakan bersepadu ini dapat direalisasikan dengan jayanya kita percaya perkhidmatan awam akan dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada cita-cita untuk membentuk sebuah negara perindustrian yang berteraskan kepada nilai-nilai agama dengan seutuhnya menjelang abad ke-21 yang akan datang.

home.gif (2145 bytes)